Sunday, 14 December 2014

Anak muda perlu tetap teguh bersama PAS

MOHD FADHIL ZULKIFLI | 13 Disember 2014.

SETELAH membaca kenyataan Presiden PKR, DS Wan Azizah yang menuduh bahawa Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) sudah enam bulan tidak bertemu dengan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat (PR), seolah-olah menggambarkan TGHH tidak memberikan kerjasama dalam pakatan tersebut. Saya mewakili jiwa mahasiswa dan jiwa anak muda merasakan kenyataan yang ditimbulkan seolah-olah sengaja ditimbulkan bagi mengeruhkan lagi keadaan yang dilihatkan sudah pun tercalar akibat kegelojohan mengadakan "Kajang Move" yang berlawanan dengan semangat kerjasama dalam sebuah pakatan.

Saya tertanya-tanya apakah keuntungan kenyataan ini? Apakah ia akan menguatkan kerjasama antara rakan PR setelah selesai konflik penukaran Menteri Besar Selangor tempoh hari. Kenyataan ini seolah-olah seperti kanak-kanak merajuk kerana segala kemahuannya tidak ditunaikan kemudian menyalahkan orang lain atas kegagalan mendapatkan apa yang diinginkan itu. Tambahan pula, saya musykil kenapa ketidakpuasan hati itu ditujukan pula kepada TGHH?


Saya bersetuju dengan kenyataan balas yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bahawa PAS bukanlah bergerak secara individu sebaliknya PAS bergerak secara berjemaah. Sebuah Gerakan Islam yang juga merangkap sebuah Parti Islam sudah tentulah mempunyai pelbagai jentera yang masing-masing bergerak mengikut bidang tugas yang telah diamanahkan, ada yang menjadi jurucakap, ada yang menjadi juru runding, ada yang memimpin dan lain-lain. Bukannya seorang Presiden itu melakukan semua perkara. Maka saya tidak nampak sebarang masalah kepada komunikasi PAS dengan rakan komponen lain atas isu yang ditimbulkan.

Melihatkan corak politik sekarang ini lebih kearah menghentam TGHH, maka saya merasakan mahasiswa atau anak muda yang teguh bersama PAS wajib bersama-sama berdiri mempertahankan TGHH. Perlu difahami bahawa posisi Presiden PAS bukanlah suatu posisi yang wujud untuk menjadi bahan pujian anak muda, sebaliknya posisi Presiden PAS menuntut kepada ahli Jemaah bagi memberi ketaatan dan mempertahankan jasad TGHH yang berada di posisi itu! Maka sebagai anak muda yang teguh bersama perjuangan Islam dan bercita-cita ingin melihat tertegaknya pemerintahan Islam di Malaysia, saya menggesa anak muda yang sayangkan perjuangan ini dan masih punyai aqidah perjuangan yang suci ini untuk bersama-sama mempertahankan Tuan Guru Presiden PAS kita yang kini ingin dijatuhkan bukan sahaja oleh golongan Sekular tetapi juga Modernist, Liberal dan konco-konconya dari luar mahupun dalam.

TGHH dikatakan sebagai seorang yang tidak kompeten, dikorek pula kata-kata Almarhum Ustaz Fadhil Noor untuk memburukkan TGHH sedangkan kedua-dua mereka berjuang bersama-sama dan mempunyai kesatuan hati dan pemikiran. Pelbagai imej buruk ditampalkan kepada jasad TGHH seolah-olah TGHH tidak pandai Fiqh Siyasah dan hanya mereka yang cenderung kepada Liberal dan Modernist sahaja yang pandai selok-belok Fiqh Siyasah. Namun begitu, Allah itu Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah SWT menutup mulut mereka yang bermulut jahat dengan mentakdirkan TGHH dilantik menjadi Timbalan Ketua Kesatuan Ulamak Se-dunia. Beliau juga telah diberi penghormatan untuk berucap di hadapan ribuan manusia bertempat di Lahore, Pakistan.

Akibat mati langkah dalam menggambarkan TGHH tidak mahir dalam siyasah, mereka cuba pula dengan kaedah lain dengan menyerang PAS menyerupai syiah, tidak boleh ditegur, dan masalah-masalah teknikal seperti dalam isu kenyataan Presiden PKR baru-baru ini. Jika dulu serangan ini dilakukan oleh Umno namun pada hari ini ia dilakukan oleh orang kiri dan kanan kita sendiri pula!

Sebagai anak muda, kita tidak dapat lari daripada menyukai kepada suatu yang nampak "cool" dan membangkitkan semangat, maka tidak hairan jika sesetengah anak muda senang terjerat dengan permainan psikologi ini. Jika dulu anak muda menentang Umno yang Sekular dan jelas menentang Islam maka anak muda itu dianggap "cool" dan hebat kerana anak muda yang menentang arus sememangnya akan cepat menjadi popular. Oleh itu, jika aqidah perjuangan kita sebagai anak muda tidak utuh dan terikut-ikut dengan mengejar populariti, maka setelah Islam sudah semakin diterima ramai pula kita masih berperangai suka melawan arus (melawan Islam kembali). Maka saya mewakili jiwa anak muda menyeru kepada seluruh anak muda yang masih sayangkan jemaah ini untuk kembali melihat aqidah perjuangan kita dan fahami apa yang diperjuangkan. Bersama-sama kita anak muda yang teguh bersama PAS berdiri mempertahankan TGHH daripada anasir jahat.

Akhirnya, ingin saya berkongsi sedikit dengan sekalian pembaca bahawa kita bertuah kerana pada generasi kita bersama dengan PAS. Hari ini Ulamak tidak lagi mengusung speaker dan mikrofon dari kampung ke kampung menyebarkan risalah kebenaran, jentera PAS tidak lagi disertai oleh orang tua kampung yang bertongkat tetapi jentera PAS bertebaran ramai dari Ulama ke Profesional dan diisi dengan pelbagai lapisan umur. PAS kini dikenali di seluruh dunia dan menjadi Gerakan Islam yang menjadi rujukan dalam hal siyasah oleh Gerakan Islam yang lain di seluruh dunia. TGHH pula dilantik menjadi Timbalan Ketua Kesatuan Ulamak Se-dunia di mana ia merupakan kebanggaan kepada semua ahli jemaah, maka sangat rugilah jika kita yang lahir pada generasi ini tidak pernah bersakit-sakit seperti Ulama terdahulu tiba-tiba kita ingin melebihi Ulama dan menjatuhkan Ulama pula. - HARAKAHDAILY 13/12/2014

Mohd Fadhil Zulkifli, Mahasiswa KUIZM

No comments:

Post a Comment